Sejarah Markas Pemerintahan Tanah Melayu

Malaya Command ditubuhkan pada awal tahun 1920-an dengan ibu pejabatnya di Singapura. Markas ini dipertanggungjawabkan dengan pertahanan dan keselamatan Tanah Melayu dan Singapura daripada ancaman musuh. Pada awalnya Malaya Command tidak besar dan hanya mempunyai unit-unit tentera kecil termasuk unit tentera sukarela (Volunteer Forces) yang ditugaskan sebagai pasukan garison di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Taiping, Seremban dan Singapura.

Apabila Perang Dunia II meletus dalam tahun 1939, Malaya Command mula diperkukuhkan dengan tentera tambahan. Oleh kerana Tentera British dalam keadaan tertekan, Malaya Command diperkuatkan dengan unit-unit tentera dari India.

Pada bulan November 1940, Malaya Command diletakkan di bawah bidang kuasa Markas Pemerintahan Timur Jauh (Far East Command) sebelum dipindahkan kepada bidang kuasa Pemerintahan Barat Daya Pasifik (South West Pacific Command) Tentera Berikat. [1]